Dunia mutakhir ini menyaksikan pelbagai jenis perkara yang berlaku. Adakalanya sebahagian pihak melihat ianya baik, sementara pihak lain memandangnya sebagai aib.
Sebahagian pihak memandang sesuatu perkara itu halal, walaupun mereka mengetahui bahawa perbuatan itu secara jelas bertentangan dengan syariatullah dan sunnah Rasulullah SAW.
Hanya kerana kepentingan diri yang ingin dipenuhi, atas nama ‘maslahah umum’ perkara yang haram dihalalkan, perkara yang halal diharamkan!
Maka, kita akan dapat melihat, satu pihak berusaha sedaya upaya untuk menjatuhkan saudaranya yang tidak ‘sekepala’ dengan mereka, walaupun dengan menjatuhkan aibnya, atau lebih parah membunuhnya!
Sedangkan, sabit di dalam hadis Rasulullah SAW:
“Seorang Muslim adalah saudara kepada saudara Muslim yang lain. Dia tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh menghinanya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Selaku umat Nabi Muhammad SAW yang hidup di penghujung zaman, kita tidak seharusnya lupa dengan sabda Baginda di dalam sebuah hadis:
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun ketandusan. Pada ketika itu, orang yang berdusta dikatakan benar, dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang yang khianat akan disuruh memegang amanah, dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang untuk bercakap hanyalah golongan Ruwaibidhoh.” Para Sahabat bertanya: “Apakah Ruwaibidhoh itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Orang yang kerdil dan hina yang tidak mengerti urusan orang ramai.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Beginilah keadaan manusia di akhir zaman. Zaman yang ketandusan dari segi material dan juga pemikiran. Ketika itulah orang yang benar diketepikan, sebaliknya orang yang khianat dan fasiq disanjung dan ditinggi-tinggikan.
Yang lebih menyedihkan, urusan manusia diserahkan kepada golongan Ruwaibidhoh: golongan yang berperibadi hina, yang sebenarnya tidak tahu bagaimana untuk menguruskan urusan manusia dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat!
Barangkali, ilmu yang diperolehi seseorang itu belum cukup untuk menumbuhkan rasa takwa di dalam hatinya, walaupun kecil. Kerana asas kepada takwa ialah seseorang itu mengetahui apa yang perlu ditakutinya, kemudian dia bertakwa. Ilmu yang diperolehi pula seharusnya membantunya untuk menaiktarafkan amal ibadatnya untuk menjadi insan yang benar-benar bertakwa.
Apakah itu takwa? Menurut Sayidina Ali RA, takwa ialah takut kepada Tuhan Al-Jalil, beramal dengan Al-Quran yang diturunkan, reda dengan pemberian yang sedikit, dan bersedia untuk Hari Akhirat.
Untuk merasakan kewujudan takwa di dalam diri, kita perlu merasakan bahawa Allah SWT sentiasa mengawasi dan memerhatikan kita, juga melaksanakan ibadat-ibadat wajib dengan penuh ketaatan.
Dengan takwa, lahirlah perasaan takut kepada Allah SWT. Lantas, perasaan inilah menghalang kita untuk melakukan perkara-perkara yang ditegah dan dilarang-Nya, juga mendorong kita untuk meraih keredaan-Nya dengan melakukan amal ibadat dan amal soleh.
Kerana itulah, kata Umar ibn ‘Abd Al-Aziz: “Yang dinamakan takwa bukanlah puasa pada waktu siang atau ibadah pada waktu malam atau melaksanakan kedua-duanya sekali. Akan tetapi yang dinamakan bertakwa kepada Allah SWT ialah menjauhi segala yang diharamkan oleh Allah SWT dan melaksanakan segala yang diwajibkan-Nya. Sesiapa yang bertakwa kemudian diberikan kebaikan kepadanya, maka itu adalah kebaikan daripada kebaikan.”
Apa gunanya amal ibadat yang banyak, andai ia tidak mampu menumbuhkan secebis rasa takwa kepada Allah SWT?
Apa gunanya amal soleh yang bertimbun-timbun, andai pelakunya tidak pernah sekalipun untuk berasa takut kepada Allah SWT?
Maka, janganlah kita berasa terkejut melihat orang yang tinggi taraf pendidikannya, banyak ilmu di dadanya, dipuji oleh orang ramai kerana keilmuannya, dilimpahi dengan kenikmatan dunia yang banyak, tetapi hidupnya dikelilingi dengan maksiat di kiri dan di kanannya.
Itu semua kerana ilmu yang diperolehinya tidak mampu menjadikannya seorang yang bertakwa. Barangkali kerana ilmu yang diperolehinya tidak berkat atau kurang beradab dalam menuntut ilmu.
Malah, orang yang mempunyai ilmu yang kurang daripadanya tetapi dengannya mampu menjadi orang yang bertakwa lebih mulia daripadanya, kerana orang yang paling mulia ialah orang yang paling bertakwa!
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu.” (Surah Al-Hujurat, ayat 13)
Rujukan:
- Al-Quran Al-Karim.
- Dr. Zahazan Mohamed, Ahmad Hasan Mohd. Nazam, 2007. 300 Hadis Bimbingan Ke Arah Mencari Reda Allah. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.
- An-Nadwi, Al-Banjari, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam, 2000. Empat Puluh Hadis Tentang Peristiwa Akhir Zaman. Cetakan kedua. Kedah: Khazanah Banjariah.
- Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, 2009. Soal Jawab A-Z tentang Tasawuf Tapi Anda Tiada Tempat Untuk Bertanya. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan