Ujian #1: Kejahatan Diingati, Kebaikan Dilupakan


Gambar hiasan.


Allah menciptakan kebaikan (al-hasanah) dan kejahatan (as-sayyi’ah). Allah juga menciptakan Syurga dan Neraka. Maha Adilnya Allah SWT, diciptakan Syurga buat mereka yang berbuat kebaikan, dan Neraka buat mereka yang berbuat kejahatan.

Demikian juga, fitrah manusia amat menyukai kebaikan. Walau seselesa mana dia gemarkan untuk berbuat kejahatan, jauh di sudut hatinya inginkan kebaikan. Cubalah kita berbuat kebaikan kepada insan sebegini secara kerap, lama-kelamaan hatinya akan lunak pada kita. Mengapa? Kerana itulah fitrah manusia.

Sebagaimana manusia menyukai kebaikan, begitu juga manusia membenci kejahatan. Oleh kerana bencinya manusia kepada kejahatan, menjadikan mereka berusaha untuk menghindarinya. Tanpa mengira siapa, latar belakangnya, mahupun jasanya.



Melihat Sisi Kejahatan, Melupai Sisi Kebaikan

Seringkali kita melihat seseorang, dahulunya sering berbuat kebaikan. Masyarakat mengenalinya sebagai insan yang soleh, penyantun, berbudi bahasa dan segala imej yang baik padanya.

Namun, apabila sekali (bukan berkali-kali) dia melakukan kesilapan (sama ada kecil mahupun besar), atau dilemparkan tuduhan fitnah bahawa dia berbuat kejahatan, dan masyarakat mempercayainya, maka mereka berusaha untuk meminggirkannya.

Apabila bertemunya di jalanan, masyarakat sanggup menggunakan jalan lain walaupun jauh hanya semata-mata kerana dia berbuat kejahatan. Anak-anak disuruh dan diperingatkan agar menjauhinya agar kejahatannya tidak merebak kepada anak-anak mereka.

Apabila seseorang itu hendak berbuat baik, bukannya diterima oleh masyarakat. Malah, menjadi bahan cacian, kejian dan sindiran. “Eleh, buat baik tu, ada udang di sebalik batu la tu.” Kita biasa mendengar percakapan sebegini, kan?


Gambar hiasan.


Masyarakat meminggir dan menyepikannya, seolah-olah suatu elemen yang tidak dikehendaki dalam masyarakat. Maka, tidak hairan dia akan terus berbuat dosa disebabkan sikap begini di dalam masyarakat.

Padahal, dia baru sahaja sekali berbuat kesilapan dan menyedari kekhilafannya lantas bertaubat. Atau, boleh jadi dia difitnah!


Melampau dalam Membenci

Mengapa sedemikian? Semuanya tidak lain kerana manusia berlebih-lebihan dan melampau dalam membenci kejahatan, sehingga melupakan sisi kebaikan seseorang. Apabila emosi mengatasi akal, maka manusia melupakan segala kebaikannya dan sentiasa mengingati kejahatannya yang satu itu.

Lantas, menyebabkan mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa manusia itu terdedah untuk membuat kesilapan. Tidak boleh ada salah, mesti sempurna. Maksum seperti Rasul.

Sedangkan, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Setiap anak Adam itu berbuat dosa.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, dinilai sahih oleh Al-Albani) Ini pengakuan daripada lisan Rasulullah SAW, bermakna Baginda menerima hakikat ini!


Kisah dari Al-Qur’an: Maryam dengan Bani Israel

Di dalam Al-Quran sendiri, telah digambarkan dengan jelas sikap sebegini. Antaranya yang menimpa kepada Maryam binti ‘Imran, ibu ‘Isa Al-Masih AS. Dalam kalangan Bani Israel, Maryam dikenali sebagai wanita yang terjaga kehormatannya, tidak pernah bergaul dengan mana-mana lelaki.

Tetapi, tatkala Maryam muncul bersama seorang bayi dalam dukungannya, masyarakat Bani Israel mula mencercanya atas tuduhan yang sudah pasti tidak benar dan fitnah. Mana mungkin seorang bayi lahir daripada ibu tanpa bapa? Memang tidak logik, tetapi itulah kekuasaan Allah SWT.

Hanya disebabkan persepsi tanpa siasatan, masyarakat mula melupai sisi baik Maryam. Tetapi, Allah SWT membersihkan nama baik Maryam menerusi lisan ‘Isa AS, suatu mukjizat kenabian yang jelas pada dirinya.

Kisah ini dirakam di dalam firman Allah SWT: “Kemudian baliklah dia (Maryam) kepada kaumnya dengan mendokong anaknya. Mereka pun menempelaknya dengan berkata, “Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat!”

“Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. mereka berkata, “Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?” Dia (‘Isa) menjawab, “Sesungguhnya aku ini hamba Allah. Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi.”” (Surah Maryam: ayat 27-30)


Kisah As-Sunnah: Abu Bakar dengan Mistah

Demikian juga, di dalam as-Sunnah, perkara yang sama berlaku ketika peristiwa Ummul Mukminin, Aisyah RA difitnah. Antara yang menyebarkan fitnah itu (kerana termakan dengan fitnah ketua munafik, Abdullah bin Ubay bin Salul) ialah Mistah bin Usasah. Sehingga, disumpah sendiri oleh ibunya Ummu Mistah ketika melatah kerana tergelincir semasa memimpin Aisyah untuk membuang air besar.

Setelah turun ayat berkenaan dengan qazaf (menuduh wanita berzina, padahal tidak), Mistah bin Usasah dihukum had, iaitu sebatan sebanyak 80 kali. Sayyidina Abu Bakar, ayah Aisyah, yang biasanya memberikan nafkah sedekah kepada Mistah, berkata: “Demi Allah, aku tidak akan lagi memberi nafkah kepada Mistah kerana ucapannya tentang Aisyah.”

Maka, Allah menurunkan ayat: “Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu. Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah An-Nur: ayat 22)

Apabila ayat tersebut turun, maka Abu Bakar berkata, “Sudah pasti, ya Allah, kami suka agar Engkau mengampuni kami.” Maka, beliau kembali memberi nafkah kepada Mistah dan berkata: “Demi Allah, aku tidak akan berhenti memberi nafkah kepadanya.” Kisah ini diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari di dalam Sahih-nya daripada Aisyah RA, juga oleh Al-Hafiz Ibnu Kathir di dalam Tafsir-nya.

Seperti manusia biasa, Abu Bakar turut terbakar dengan emosi. Siapa yang suka anak yang dikasihi difitnah dengan fitnah yang sangat keji? Namun, Allah SWT menegur dan mentarbiyah Abu Bakar, dan beliau memahami makna di sebalik wahyu tersebut, seolah-olah Allah SWT berfirman kepadanya: “Jangan ikutkan perasaan.”


Nasihat

Bagaimana untuk mengatasi cabaran ini? Masyarakat itu sendiri perlu bersedia untuk memaafkan kesilapan orang dan menerima hakikat bahawa tiada manusia yang tidak berbuat salah dan dosa.

Andai terlalu sukar untuk memaafkan, tanyalah kepada diri kita: “Andai Rasulullah SAW dan para Sahabat boleh menerima dan memaafkan kesalahan orang, mengapa tidak kita? Adakah kita ini maksum? Tidak pernah melakukan salah dan dosa seperti orang lain? Sudah pasti tidak? Kita sebenarnya sama seperti dia!”


Gambar hiasan.


Renungkanlah firman Allah SWT: “Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu?” (Surah An-Nur: ayat 24) Sudah pasti, kita suka Allah SWT mengampuni dosa kita. Maka, maafkanlah kesalahan mereka. Bimbinglah mereka agar pisang tidak berbuah dua kali.


Buat Pelaku Dosa yang Bertaubat

Manakala, mereka yang bertaubat dan insaf perlu menghadapi sikap ini dengan berfikiran positif. Anggaplah ini ujian daripada Allah SWT untuk menguji anda. Pastinya Allah SWT memberikan ganjaran kepada anda yang berjaya melepasi ujian-Nya, sama ada dalam bentuk pahala, darjat yang tinggi di sisi-Nya, atau yang lebih lumayan, Syurga-Nya.

Usah pedulikan dengan apa yang masyarakat lihat pada diri anda, kerana anda tidak akan mampu memuaskan hati setiap manusia. Sebaliknya, pedulilah dengan apa yang Allah lihat pada diri anda. Berusahalah untuk menjadi hamba-Nya yang bertakwa dan soleh di sisi-Nya. Jangan sesekali kembali ke jalan yang mengundang kemurkaan-Nya.

Bersyukurlah kerana Allah sangat menyayangi anda. Jika tidak, mana mungkin Allah mentakdirkan anda untuk bertaubat setelah berbuat dosa?



Lukhman Abdul Taib
Kuching, Sarawak pada 30 Oktober 2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan