Fahami Al-Quran cermin kepada keimanan

Oleh: Lukhman Abdul Taib


Al-Quran menjadi suatu kitab tidak asing lagi dalam masyarakat Islam. Dari usia yang begitu muda, insan sudah pun dikenal dengan al-Quran menerusi kelas-kelas mengaji dan pelajaran di sekolah.


Dalam masyarakat Islam di negara kita, Al-Quran sering sinonim dengan bacaan Surah Yaasin pada setiap malam Jumaat di masjid-masjid dan surau-surau. Walaupun terdapat perbahasan mengenai amalan tersebut, ia menjadi suatu ‘simbol’ kepada pembudayaan al-Quran di dalam masyarakat kita.


Demikian juga, saban tahun, Majlis Tilawah Al-Quran dan Majlis Menghafaz Al-Quran menjadi acara tahunan di negara kita. Penyertaan dan kehadiran masyarakat sangat begitu menggalakkan. Akhirnya, ia melahirkan suatu ‘trend’ dalam kalangan ibu bapa yang punya kesedaran untuk menghantar anak-anak mereka ke institut-institut tahfiz yang wujud di negara kita.

Kita cukup gembira dengan pembudayaan al-Quran dalam masyarakat. Namun, untuk kita cepat berpuas hati, kita sebenarnya masih berada di tahap pertama dalam menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup, sesuai dengan sabda Rasulullah SAW:

“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu Kitaballah dan Sunnah Nabi-Nya.” (Hadis riwayat Imam Malik)

Berapa ramai yang membaca Al-Quran setiap hari, tetapi ayat-ayat yang dibacanya tidak sedikit pun dihayati? Berapa ramai yang membaca Surah Yaasin setiap malam Jumaat, tetapi tidak mengambil ibrah dan insaf dengan apa yang diperingatkan oleh Allah SWT di dalamnya? Berapa ramai yang mampu menceritakan kisah tiga rasul di sebuah bandar sepertimana yang digambarkan di dalam Surah Yaasin itu sendiri?

Andai soalan-soalan ini kita tidak mampu menjawabnya, maka seharusnya kita merenung dengan sedalam-dalamnya makna dalam firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu, apabila disebut nama Allah maka gementarlah hatinya, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka bertambah (kuat) imannya.” (Surah Al-Anfal, ayat 2)


Menangis apabila dibacakan Kalamullah

Siapakah mereka yang bergetar hatinya apabila dibacakan ayat-ayat al-Quran? Mereka yang disifatkan sebagai orang beriman yang bertambah kuat imannya? Mereka inilah, apabila telinga mendengar Kalamullah, lalu menusuk ke jiwa sanubari, maka melelehlah air mata mereka, kerana berasa sangat sedih.

Apabila dibacakan ayat yang menjanjikan kesenangan Syurga, maka insan yang membacanya menangis kerana bimbang dirinya tidak tergolong dalam golongan ahli Syurga. Manakala, apabila dibacakan ayat azab, maka menangis lagi insan yang membacanya. Dirinya bimbang akan mendapat azab yang diceritakan.

Bagi golongan yang berpendidikan sains pula, apabila menemui ayat yang menceritakan fakta saintifik, hati mereka tersentuh dengan kehebatan mukjizat al-Quran. Lantas menangis dan menyalahkan diri, “Mengapa aku selama ini tidak mempercayai kehebatan al-Quran, sedangkan faktanya membuktikan kajian saintifik?”

Namun, bagi golongan yang tidak dapat memahami ayat-ayat yang dibaca, maka tangisannya adalah tangisan kekesalan. Mereka menyesal kerana gagal memahami ayat-ayat Al-Quran, lantas bimbang akan nasib diri di dunia, sama ada terus istiqamah di atas agama yang lurus atau tersasar.


Al-Quran sebagai pedoman

Daripada penghayatan, timbulnya kesedaran. Kesedaran itu pula seharusnya membawa kepada amal sebagai zahir kepada penghayatan. Seandainya gagal melahirkan amal, maka berhati-hati dengan hati, dibimbangi hati sudah terlalu hitam untuk tersentuh dengan ayat-ayat suci Al-Quran.

Kerana itulah, untuk menempatkan diri di dalam golongan ahli al-Quran, hari-harinya perulah dipenuhi dengan amalan membaca, menghayati, menghafal, mengamal dan mengajar al-Quran. (Dr. Juanda Haji Jaya, JOM Ibadat)

Di dalam kehidupannya, tiada yang lebih tertinggi berbanding al-Quran. Al-Quranlah sebagai teman. Di waktu senang, al-Quran mengingatkan untuk tidak lalai. Di waktu susah, al-Quran memujuk kita dengan janji-janji Tuhan. Lebih menakjubkan, isinya terpelihara sehingga ke Hari Kiamat oleh Sang Pemiliknya.

Orang yang bebas daripada sebarang taqlid menjadikan al-Quran sebagai pedoman dan undang-undang di dalam hidupnya. Walaupun pada hakikatnya manusia memandangnya terkongkong, tetapi realitinya dia bebas daripada cengkaman kekejaman undang-undang dan fahaman sesat rekaan manusia yang berpaling daripada agama dan memilih jalan yang lurus.

Namun, apa yang dapat dilihat hari ini, al-Quran tidak menjadi key-indicator dalam pekerjaan seharian manusia. Yang menyedihkan, al-Quran hanya diletakkan di taraf bahan bacaan, sama seperti surat khabar. Membaca al-Quran apabila perlu atau disuruh.

Manakala, kehidupan sehariannya dikawal dengan undang-undang ciptaan manusia. Budaya taqlid buta semakin menjadi-jadi dalam kalangan manusia, terutama golongan yang melaungkan slogan “Al-Quran dan As-Sunnah pedoman hidupku”!

Kita adalah masyarakat yang ‘sudah kehilangan roh sebelum dibunuh oleh musuh Islam’. Memetik kata-kata seorang misionari yang menganalisa Perang Salib, katanya: “Jika kalian memerangi umat Muhammad dengan pedang, sesungguhnya mereka memang mencari kematian (syahid). Kalahkanlah generasi selepas mereka dengan mengeluarkan al-Quran daripada dalam hati mereka dan membuangnya jauh sehingga mereka tidak mengenali agamanya, Nabinya, dan juga kehilangan rasa bangganya dengan Islamnya. Jika hal ini terjadi, kalian akan memperoleh kemenangan tanpa senjata kerana mereka kehilangan roh sebelum mati.” (Dr. Juanda Haji Jaya, JOM Ibadah)


Mencintai al-Quran

Abdullah ibn Mas’ud RA pernah berkata:

“Seseorang yang mengakui mencintai Allah SWT tetapi tidak suka membaca al-Quran, cintanya itu adalah bohong. Bagaimana mungkin seorang yang bercinta tidak suka menyebut-nyebut kalimat orang yang dicintainya?”

Al-Quran adalah bukti keimanan kita kepada Allah SWT. Al-Quran juga cerminan kepada dalamnya kecintaan kita kepada Allah SWT. Malah, Al-Quran itu sendiri mengandungi kalimah cinta dan rahmat Allah SWT yang dituang dalam wahyu yang turun dari langit. (Dr. Juanda Haji Jaya, JOM Ibadat)

Maka sewajarnya kita meletakkan Allah SWT dan Al-Quran sebagai tertinggi di dalam hati kita. Umpama seorang lelaki yang dilamun rasa cinta pada perempuan yang dicintainya, maka demikianlah sikap dan tabiat cinta kita kepada Allah dan Al-Quran.

Lidah kita sentiasa basah dengan Kalamullah dan zikrullah. Pantang tidak ‘bertemu’ dengan al-Quran, hatinya berasa resah, diri menjadi gundah gulana. Jika sehari tidak diperuntukkan masa untuk ber-taqarrub kepada Allah SWT, maka “makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah”.

Hari ini, kita melihat masyarakat Islam kita menjadi sebaliknya. Al-Quran tidak lagi sebagai yang tertinggi. Iman tidak lagi menjadi cita-cita yang harus dipenuhi. Hiburan keduniaan menjadi keutamaan, cinta manusia menjadi kejaran. Padahal, dunia dan manusia adalah sesuatu yang pasti akan musnah, sementara Allah SWT kekal selama-lamanya.

Maka, tidak hairanlah apabila suatu hari nanti, masyarakat kita dijolok dengan gelaran masyarakat “pencinta wanita”!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan