Ramadhan, Bulan Yang Tiada Kebebasan


… Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan. Kegembiraan semasa berbuka puasa, dan kegembiraan semasa bertemu Tuhan-Nya… 
[Riwayat Muslim, Ahmad, al-Nasa'ie dan Ibn Majah]
Saya peminat orkestra dan permainan muzik. Bukanlah saya pandai bermain peralatannya. Saya pernah cuba memetik gitar, sumbang dibuatnya. Saya lebih teruja melihat orang bermain peralatan muzik, bukan sebab bunyinya, tetapi kepakaran pemain.
Ya, kita dengar alunan yang sangat merdu, teknik yang nampak mudah. Tapi disebalik kepakaran tersebut, tersembunyi bertahun-tahun susah payah keringat latihan, saban hari berlawan dengan sikap malas. Barulah hasilnya sedemikian.
Saya melihat muzik adalah salah satu manifestasi kebebasan. Melihat orang memetik gitar dengan bebas, merdu kedengaran mengikut alunan. Lincah jari menekan piano, seperti langsung tiada kesusahan yang dihadapinya. Seronok melihat, seronok mendengar.
Saya percaya, bagi sesiapa yang tidak tahu betapa sukarnya untuk bermain piano, tidak akan menghargai alunan piano
Ibadah
Ramadhan bulan tarbiyah. Muslim dididik dan diarah untuk menahan pelbagai perkara. Nampak seperti banyak larangan; tidak boleh makan, tidak boleh minum, tidak boleh seks, tidak boleh maki hamun, tidak boleh berbuka sekenyang-kenyangnya dan ribuan lagi 'tak boleh'.
Ditambah pula dengan suruhan amal-amal yang banyak; baca al-Quran, Qiyamulail, Zakat, Tarawih dan pelbagai lagi ibadat yang dilihat secara fizikalnya seperti tidak menguntungkan. Kebebasan disekat, pada bulan Ramadhan ialah bulan tiada kebebasan!
Ramadhan ialah bulan terkongkong...
Ramadhan ialah bulan terkongkongnya nafsu!
Insan yang mampu bangun awal ialah insan yang bebas. Insan yang tidak melihat pornografi ialah insan yang bebas. Insan yang tidak membazir adalah insan yang bebas. Insan yang bercakap benar dan sopan ialah insan yang bebas. Insan yang sentiasa mengingati Allah ialah insan yang bebas. Pelbagai lagi peribadi mulia seorang insan yang bebas daripada nafsu!
Lalu mereka yang tidak mengerti kebebasan akan hairan dan bertanya: Bagaimana seorang Muslim dapat melakukan kesemuanya itu?
Kata insan tersebut: Inilah Tarbiyah Ramadhan, saya sudah bebas daripada nafsu!

1 ulasan: