"Sesungguhnya sebenar-benar kalam ialah Kitabullah, dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad SAW, dan seburuk-buruk urusan ialah yang diada-adakan." (Hadis riwayat Al-Baihaqi)
Tip Kekal Cemerlang Selepas Peperiksaan
Kolumnis:
Lukhman Taib
Gambar hiasan.
Musim peperiksaan datang kembali. Kita akan melihat pelajar dan penuntut universiti akan mula memperuntukkan lebih banyak masa, bergelumang dengan buku-buku dan nota. Kalau dahulunya dia aktif melakukan kerja-kerja berpersatuan di sekolah atau kampus, kini kebanyakan masanya adalah belajar, belajar dan belajar. Sekurang-kurangnya, dia tidak kelam kabut kerana dia masih memperuntukkan masa untuk belajar walaupun dia seorang yang aktif.
Kita mungkin sudah disuap dengan berbagai-bagai tips dan panduan sebelum dan ketika menghadapi peperiksaan. Namun, bagaimana dengan selepas menduduki peperiksaan? Adakah usaha kita terhenti dan boleh melepaskan nafas lega setelah keluar daripada dewan peperiksaan? Apakah tips tersebut?
1. Jangan berbincang mengenai soalan yang telah dijawab.
Cuba elakkan diri daripada berbincang dengan sahabat-sahabat anda mengenai soalan-soalan yang baru anda jawab. Walaupun anda seorang pelajar cemerlang atau salah seorang pelajar Dean’s List. Andai anda tidak pasti dengan jawapan yang anda berikan, rujuk sahaja kepada buku atau nota anda, kemudian katakan kepada diri anda sendiri, “Peperiksaan sudah berlalu, dan aku sudah berusaha. Aku serahkan segala pergantunganku kepada Allah SWT.”
Semua ini bersangkut paut dengan psikologi. Boleh jadi anda akan berasa kurang bersemangat selepas itu kerana anda merasakan banyak kesilapan yang telah anda lakukan semasa peperiksaan. Kemudiannya, membuat anda hilang pergantungan kepada Allah SWT. Boleh jadi juga ini tidak terjadi kepada anda, tetapi kepada sahabat-sahabat ‘perbincangan’ anda.
Dan sudah cukup dikira zalim sekiranya anda membuat sahabat-sahabat anda berada dalam keadaan sedemikian. Sabda Rasulullah SAW: “Jangan ada mudharat dan jangan memudharatkan.” (Hadis hasan riwayat Ibnu Majah, Daruqutni, dan Imam Malik)
Mengapa perlu anda berbicara mengenai benda yang sudah berlalu? Adakah anda mampu mengubahnya dengan berbicara perkara silam? Jangan pandang ke belakang, dan maralah ke hadapan!
2. Jangan cuba mencari spot question.
Ini juga salah satu perangai yang ‘tidak beradab’ dengan guru atau pensyarah kita. Sekiranya guru tidak memberikan isyarat mengenai soalan yang bakal keluar di dalam peperiksaan, janganlah kita memandai-mandai dan terhegeh-hegeh meminta spot question daripadanya.
Itu sendiri menunjukkan kita tidak memberikan sepenuh perhatian kepada apa yang telah beliau ajarkan di dalam kelas. Ataupun kita tidak pernah bertanyakan kepadanya tentang kecelaruan di dalam pelajaran. Bagaimanakah perasaan anda apabila anda berada di sisi beliau, sebagai seorang guru? Yang sudah berusaha sehabis mungkin untuk mengajar anak-anak muridnya supaya faham, tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.
Di dalam kesufian, diajar bahawa jika seseorang anak murid pergi keluar bermusafir, maka seeloknya anak murid tersebut menghadiahkan sesuatu kepada gurunya. Kenapa? Kerana doa guru lebih mustajab daripada doa anak muridnya, walaupun dia seorang musafir yang juga dimakbulkan doa oleh Allah SWT.
Segala-galanya kerana kita memburu keberkatan ilmu, di sini mahupun di sana nanti.
3. Jangan berhenti berdoa kepada Ilahi.
Berakhirnya musim peperiksaan bukan bermakna anda sudah ‘merdeka’. Anda sebenarnya masih belum selamat lagi, kerana dalam tempoh penantian keputusan itulah guru atau pensyarah menanda kertas peperiksaan anda. Jangan lupa, bukan anda seorang yang duduk periksa. Beribu-ribu lagi pelajar yang turut menduduki peperiksaan!
Boleh jadi, ketika pensyarah memeriksa jawapan anda, dia sudah pun keletihan memeriksan ratusan kertas jawapan sebelum itu. Walaupun jawapan yang anda berikan tepat, tetapi hanya disebabkan kesilapan kecil, seperti tulisan kurang kemas, yang menambahkan tekanan kepadanya, menjadikan markah anda berada di dalam bahaya.
Maka, jangan jadikan tamatnya peperiksaan sebagai titik noktah kepada pergantungan usaha anda kepada Allah SWT. Teruslah meminta kepada-Nya, walaupun setelah keluarnya keputusan.
Kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada diri kita di masa akan datang. Maka, jangan anda sombong kepada-Nya, nanti anda sendiri yang binasa. Kerana Allah SWT tidak suka kepada orang yang sombong!
Sabda Rasulullah SAW: “Allah ‘Azza Wa Jalla berfirman: Kemuliaan adalah sarung-Ku, dan kesombongan adalah pakaian-Ku. Barangsiapa yang mencabut salah satu daripada kedua-dua pakaian-Ku, maka pasti Aku akan menyeksanya.” (Hadis riwayat Muslim)
Lukhman Abdul Taib
Centre for Foundation Studies, IIUM
Petaling Jaya, 27 September 2011
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
salam alaik sahabat..
BalasPadamtahniah untuk usaha maya ini.
kekuatan kita, apabila menyedari kitalah pemuda yang dipilih ALLAH (18:13)