Muhasabah Pasca Ramadhan


Jika kita mengibaratkan tarbiyyah yang kita lalui di dalam bulan Ramadhan dengan tamsilan Universiti Ramadhan, maka hadirnya Aidilfitri umpama hari konvokesyen. Namun, Aidilfitri bukan hanya hari bergembira sahaja di atas ‘konvokesyen’ semata. Keluarnya kita dari Universiti Ramadhan menuju ke bulan-bulan yang lain ialah medan sebenar sejauh mana tarbiyyah Ramadhan benar-benar membuat kita insan yang bertaqwa.

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardukan ke atas kamu (ibadat) puasa sebagaimana difardukan ke atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah Al-Baqarah ayat: 183) Maka, suatu muhasabah kepada diri kita yang sudah bergelar graduan dari Universiti Ramadhan: “Sejauh mana taqwa yang telah disemai dalam diri itu tumbuh mekar di dalam hati?”

Alangkah rugi apabila kita keluar dari bulan Ramadhan, kita sebenarnya telah menjadi hamba kepada bulan Ramadhan dan bukannya kepada TUHAN. Jika di dalam bulan Ramadhan setiap malam kita tidak ketinggalan menghabiskan bacaan sejuzuk al-Quran, di luar Ramadhan untuk menghabiskan bacaan sehelai muka surat pun payah. Bertambah buruk, solat lima waktu pun tidak dirasakan apa-apa jika ditinggalkan, malah berasa senang hati. Di mana silapnya?

Apakah kita hendak menyalahkan syaitan yang tidak lagi dibelenggu setelah berakhirnya Ramadhan? Jika demikian maka sia-sia sahaja bergelear graduan Universiti Ramadhan tetapi yang terhasil adalah jiwa yang tidak kuat dan kental menghadapi musuh. Baru digoda sedikit oleh syaitan, iman sudai terkulai. Ini bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan puasa kita.

Maka muhasabahlah kembali puasa yang telah kita lakukan selama sebulan, mengapa ia tidak mendatangkan taqwa seperti yang difirmankan ALLAH? Mungkin kita tidak berpuasa dalam erti kata yang sebenar. Perut kita berpuasa tetapi mata, telinga, tangan, kaki, kemaluan, dan hati kita tidak berpuasa dari perkara-perkara yang dilarang. Mengapa boleh sedemikian? Jangan malu untuk mengakui bahawa kita sebenarnya menyambut Ramadhan dalam keadaan kurang persediaan ilmu dan amal.

Apakah cukup dengan muhasabah? Muhasabah tanpa sebarang tindakan lanjut tidak akan mendatangkan perubahan positif kepada iman kita. Rancanglah dengan sebaiknya penambahbaikan untuk 11 bulan yang akan datang. Gunakan ruang dan peluang yang ada untuk terus melatih diri menjadi tahan lasak secara fizikal dan rohani.

Latihlah diri untuk tidak meninggalkan solat lima waktu walau sekali. Berikanlah hukuman kepada diri sendiri andai meninggalkan solat lima waktu supaya menjadi pengajaran agar tidak memandang enteng persoalan solat. Jika sudah mampu untuk menjaga solat lima waktu, maka kekalkan momentum tersebut sambil menambahkan seri ibadat solat dengan aksesori ‘solat-solat nawafil’. Tidak perlu dilakukan semua, sedikit demi sedikit sudah memadai asalkan istiqamah.

Ilmu dan kefahaman juga perlu ditambah dari semasa ke semasa. Jangan berasa teragak-agak dan malu untuk mengulang kaji kembali perkara-perkara asas terutama yang fardu ain. Aturlah masa dan rancanglah jadual agar tanggungjawab sebagai seorang pelajar atau pekerja tidak terjejas. Kukuhkanlah ilmu itu dengan praktis dan amal agar ia tidak lari.

Gunakan hari-hari yang disunnahkan berpuasa sebagai medan ‘peperiksaan’ untuk menguji sejauh mana kekentalan iman dan jiwa kita. Di akhir hari, kita muhasabah kembali dan perbaiki di ruang-ruang yang patut dibaiki.

Terasa tidak kuat untuk melakukan seorang diri? Bergaullah dengan masyarakat secara sihat, iaitu berlandaskan iman dan taqwa. Kehidupan bukan mengenai kita seorang diri, tetapi mengenai kita dan orang lain. Carilah dan dampingi sahabat-sahabat yang soleh dan para ulama. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa di antara kamu yang mengingini kebahagiaan syurga, hendaklah dia melazimkan diri dalam jemaah kerana syaitan suka kepada orang yang bersendirian.” (Hadis sahih riwayat at-Tirmizi)

Sudah tiba masanya kita berhenti dari memberi alasan dan dalih. Mungkin ia berkesan di dunia, tetapi apakah alasan dan dalih itu diterima ALLAH di akhirat kelak? Tiada jalan lain selain bermujahadah dengan berpegang kepada sunnah Nabi. Untuk itu, carilah ilmu, tambat dengan amal, dan bersahabat dengan para pewaris Nabi dan orang soleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan