Tahniah buat Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan isterinya. Barakallahu lakuma.
Umpama dunia sedang dilanda krisis. Itulah perumpamaan gelagat kita apabila golongan ustaz mengamalkan poligami, lebih-lebih lagi di laman sosial Facebook dan Twitter. Jika dahulu heboh bagai nak rak apabila Ustaz Azhar Idrus berkahwin dengan isterinya yang ketiga, Syawal kali ini diserikan dengan berita pernikahan Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dengan isteri beliau yang kedua. Barakallahu lakuma wa jama‘a baynakuma fi khayr buat al-Fadhil dengan pasangannya.
Cuma, saya tertanya-tanya mengapakah terlalu banyak respon apabila ada sesetengah dari golongan asatizah mengamalkan poligami. Seolah-olah ianya sesuatu yang sangat asing. Belum lagi menyentuh persoalan mengapa sunnah ini dianggap asing jika diamalkan oleh sesetengah pihak tetapi telinga kita terasa lali jika diamalkan oleh pihak yang lain.
Yang memberi respon pula boleh dikategorikan kepada dua. Ada yang menyokong sepenuhnya, ada yang membangkang. Jika sudah ada yang membangkang, pasti ada yang bangkit membidas bangkangan tersebut. Di sinilah kita menyaksikan kelahiran ‘mufti segera’ dan ulama jadi-jadian – dari kalangan muslimin dan muslimat – berbekalkan kejaguhannya sebagai jaguh papan kekunci memberikan ulasan dan fatwa masing-masing.
Mengapa perlu dibangkang? Saya tidak melihat fenomena ini sebagai suatu ancaman kepada wanita. Malah sebenarnya inilah yang sangat kita perlukan. Kita perlu bimbingan dan contoh teladan dari golongan asatizah ini yang lebih faqih dan alim pengetahuan agamanya dari kita dalam soal kontroversi seperti poligami. Di sinilah kita dapat melihat secara realiti bagaimana sunnah poligami dipraktikkan secara lapangan persis Rasulullah shallallahu ‘alayhi wasallam setelah sekian lama disuap teori yang masih kabur dengan realiti.
Sudah-sudahlah berhujah dengan falasi dan mimpi ngeri yang lalu. Masa silam bukan untuk dikenang, tetapi dijadikan sempadan agar pisang tidak berbuah dua kali. Jangan jadikan pengalaman-pengalaman pahit dimadukan menambah ujian godaan nafsu serakah syahwat kepada para lelaki. Manakah yang lebih baik, mengizinkan si suami berpoligami atau membiarkan dia membuat kerja-kerja yang boleh memuaskan nafsunya di belakang anda?
Lagipun, tidak semua wanita yang dimadukan mempunyai pengalaman-pengalaman pahit seperti anda. Sekali-sekala berselisih faham, itu sudah rencah kehidupan. Tinggal lagi, bagaimana kita melihatnya sama ada sebagai pengukuh tautan cinta atau bibit-bibit pengakhiran.
Sedarlah wanita, tatkala lelaki terpaksa bermujahadah melawan nafsu di luar rumah, mereka sebenarnya masih kasihkan anda. Tetapi, balik sahaja ke rumah, mereka yang keletihan fizikal dan mental terpaksa pula mendengar bebelan anda, melihat anda tidak terurus dan berbau dek kepeluhan. Suami hanya meminta secawan air pengubat haus, anda berikan seribu satu alasan dan syarahan kepadanya. Dan anda mahu membangkang suami anda berpoligami?
Buat kaum Adam pula, jangan jadikan fenomena ini suatu kesempatan untuk melunaskan hawa nafsu. Hanya kerana “Ada ustaz yang kahwin lagi” bukan bermakna anda boleh memaksa isteri anda untuk menurut kehendak anda. Ya, ia memang sunnah tetapi sudahkah anda memenuhi haknya dan tanggungjawab anda?
Berpoligami bukan semata-mata memelihara kehormatan dan mengekang nafsu. Berpoligami ialah suatu syariah yang diturunkan demi menjaga kemaslahatan umat yang sengsara tatkala kehilangan cinta seorang suami dan kasih sayang seorang ayah.
Sebelum berpoligami, ukurlah baju di badan sendiri. Jangan terlalu menurut nafsu sehingga ada hati yang terluka dan terabai, sama ada isteri atau anak-anak. Seringkali menurut nafsu syahwat menyebabkan ada pihak yang diabaikan seperti benda yang tergantung di awang-awangan, dan ia suatu kezaliman yang ditegah di dalam Islam.
Firman ALLAH subhanahu wa ta’ala: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, karena itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisa’ ayat: 129)
Buat teruna atau anak dara yang ‘kecewa’, usahlah kita sibuk berfatwa di Facebook dan Twitter apabila ada asatizah yang menikah lagi. Bukan itu sunnah yang diajar oleh Nabi. Nabi menganjurkan agar kita mendoakan kebaikan buat mereka. Mengapa perlu sakit hati dengan kebahagiaan saudara sendiri?
Jangan jadi seperti manusia yang sikapnya: apabila kita kahwin mulutnya pot pet pote pet, apabila kita tidak berkahwin mulutnya tetap pot pet pot pet. Serba tak kena bagi mereka.
Akhirul kalam, saya petik sepotong hadis buat renungan bersama. Dari ‘Abd ALLAH ibn ‘Amr ibn al-‘Ash radhiyallahu ‘anhu katanya: Sabda Rasulullah shallallahu ‘alayhi wasallam: “Tidak dikira beriman seseorang di antara kamu sehinggalah hawa nafsunya tunduk menuruti ajaran yang aku bawa.” (Hadis hasan shohih, diriwayatkan dalam kitab al-Hujjah dengan isnad yang shohih)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan